Aktiviti utama :-
Program ini bertujuan bagi melahirkan masyarakat Kelantan Selatan yang lebih terbuka; maju dari segi minda, sikap, dan tingkah laku bagi membentuk sahsiah yang berdisiplin, berdikari, bertakwa dan bersyukur. Ianya selaras dengan falsafah baru pembangunan luar bandar untuk menjadikan kawasan luar bandar maju, menarik dan menguntungkan.
Kumpulan sasar KESEDAR terdiri daripada semua penduduk Kelantan Selatan yang terbahagi kepada tiga kategori :-
-
Peneroka Rancangan Kemajuan Tanah
-
Peneroka Rancangan Pemulihan Tanah
-
Penduduk Kampung Tradisi/Orang Asli
Aktiviti pembangunan sosial yang dilaksanakan oleh KESEDAR termasuklah pembangunan kerohanian, pendidikan, keusahawanan dan kemasyarakatan. Kaedah pelaksanaan adalah dalam pelbagai bentuk seperti latihan dan kursus, lawatan, sukan sera pertandingan yang melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan wanita.
KESEDAR juga tidak ketinggalan dalam memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan melalui Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat. Bantuan yang diberikan termasuklah membina dan membaiki rumah serta bantuan input pertanian, tanaman kontan dan ternakan lembu. Bantuan ini bertujuan bagi meringankan bebanan mereka agar dapat menjalani kehidupan sebagaimana orang lain.
Bagi memperkasakan penduduk desa, KESEDAR bersama dengan agensi/Jabatan Kerajaan lain, pihak swasta dan Badan-Badan Bukan Kerajaan terus bekerjasama dalam membantu pemimpin-pemimpin tempatan (JKKK) dalam merancang dan merealisasikan impian mewujudkan ' Desa Wawasan' yang maju, menarik dan menguntungkan.
Bagi melengkapkan kemudahan di desa berkenaan, KESEDAR menyediakan bangunan seperti dewan serbaguna, taska dan peralatan komputer.