Pakai Tali Pinggang Keledar- Patuhi Undang-undang
Bermula 1 Januari 2009, peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang telah dikuatkuasakan melalui Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008).
Penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh mengundang risiko dan bahaya. Berdasarkan kajian MIROS (Malaysian Institute of Road Safety Research), pada kelajuan 50 km sejam penumpang belakang seberat 60 kilogram boleh menghentam tempat duduk hadapan dengan kesan impak sebanyak 2.4 tan.
Kajian MIROS pada tahun 2007 pula mendapati terdapat 350 kes kematian, 700 kes cedera parah dan 2,100 kes cedera ringan yang melibatkan penumpang di tempat duduk belakang kenderaan persendirian. Daripada jumlah ini, 40% - 50% kes kematian, cedera parah dan cedera ringan yang melibatkan penumpang belakang boleh dikurangkan sekiranya penumpang memakai tali pinggang keledar.
Pemasangan Tali Pinggang Keledar
Pemasangan tali pinggang keledar tempat duduk belakang telah dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2009 ke atas semua jenis kenderaan kecuali kenderaan-kenderaan seperti berikut:
1. Kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995;
2. Kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995, tetapi tidak dilengkapi dengan anchorage points;
3. Kenderaan komersil termasuk teksi dan kereta sewa;
4. Kenderaan penumpang yang mempunyai lebih dari 8 tempat duduk dan
5. Kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan melebihi 3.5 tan
Kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 dan mempunyai anchorage points tetapi tidak dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang, tempoh 3 tahun diberikan kepada pemilik kenderaan tersebut untuk memasang tali pinggang keledar belakang bermula 1 Januari 2009.
Jenis tali pinggang keledar yang diluluskan untuk dipasang adalah seperti yang disenaraikan dalam Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 dan (Pindaan) 2008.
Pemilik kenderaan diberi tempoh sehingga 31 Disember 2011 untuk dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang. Kenderaan yang tidak dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang selepas tempoh 31 Disember 2011 pemasangan berakhir, pemiliknya akan dikenakan tindakan undang-undang.
Pemakaian Tali Pinggang Keledar
Mana-mana pemandu atau penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar (hadapan atau belakang) akan disaman. Penalti bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali. Walau bagaimanapun, bagi tempoh enam (6) bulan pertama iaitu mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2009, JPJ atau PDRM akan menawarkan kompaun RM300 kepada pesalah.
Tindakan saman hanya akan dikenakan kepada penumpang yang berumur 17 tahun dan ke atas sahaja.
Pengecualian daripada memakai tali pinggang keledar diberikan kepada:
1. Orang yang diperakui oleh dua orang pengamal perubatan berdaftar - tidak boleh memakai tali pinggang keledar atas sebab kesihatan;
2. Wanita yang sarat mengandung ; dan
3. Mana-mana orang yang dikecualikan oleh Menteri dari masa ke semasa.
Sumber: http://www.autoworld.com.my