Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 KESEDAR Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 KESEDAR

Majlis Amanat Tahun Baharu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah berlangsung pada 16 Februari 2020 (Ahad) bersamaan 22 Jamadilakhir 1441H bertempat di Dewan Komuniti, Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang.

Majlis ini bertujuan menyatukan jalinan ukhwah di antara penjawat KESEDAR. Majlis ini juga selaras dengan amanat tahun baharu yang diadakan di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar pada 7 Januari 2019 yang lepas. Antara agenda lain adalah Penyampaian Anugerah Khas YBhg. Dato' Pengerusi, Pengenalan Penjawat Baharu Lantikan 2020 dan Gimik Pelancaran Coop Shop.

Dalam ucapan YBhg. Dato’ Sazmi Miah, Pengerusi KESEDAR, beliau mengucapkan tahniah kepada pengurusan KESEDAR kerana prestasi tahun 2019 telah diuruskan dengan amat baik sekali dan ini merupakan satu pencapaian yang begitu cemerlang. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua warga kerja KESEDAR di atas usaha-usaha untuk mendapatkan peruntukan tambahan tersebut.

Dato’ Sazmi Miah juga berbangga dengan kejayaan yang diperolehi KESEDAR bagi tahun 2019 antaranya adalah pembangunan pusat pertumbuhan baru di RKT Paloh yang meliputi kawasan seluas 73 hektar, pembinaan sebuah R&R di Kuala Balah, kompleks perniagaan yang berkonsepkan Indonesia-Malaysia-Thailand Golden Tringle (IMTGT), pembinaan rumah PPRT menggunakan sistem IBS, dan membangunkan usahawan seramai 50 usahawan hanya dalam masa satu tahun sahaja. Antara kejayaan-kejayaan lain melalui aspek pembangunan dan pengurusan juga turut dinyatakan.

Beliau juga menyentuh tentang hala tuju pembangunan luar Bandar 2020, Fokus 2020, perancangan Rancangan Malaysia ke-12, kepentingan berkomunikasi dan juga nilai kesihatan. Beliau menyeru KESEDAR harus memberi tumpuan bukan sahaja untuk menyelesaikan pembangunan infrastruktur di luar bandar tetapi juga turut memberi tumpuan kepada pembangunan sosio-ekonomi penduduk luar bandar supaya jurang pendapatan B40% dengan T20% serta luar bandar dengan bandar dapat dikurangkan.

Turut hadir dalam majlis ini adalah YBrs. Dr. Aminuddin bin Yaacob, Timbalan Pengerusi KESEDAR, YBhg. Datuk Haji Mohd Roslan bin Puteh, YBrs. Puan Zaleha binti Che Kob @ Yaacob yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR, YABrs. Encik Iskandar Zurkarnain bin Ibrahim, Pengurus Besar KESEDAR, YBrs. Tuan Haji Othman bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), YBrs. Tuan Haji W.Muhd Rahimi bin Wan Salleh, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) serta penjawat KESEDAR. Majlis berakhir jam 12.30 tengahari.

 

Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 KESEDAR   Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 KESEDAR

Klik disini untuk lihat gambar sekitar Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 KESEDAR