Perutusan Pengerusi Perutusan Pengerusi

PERUTUSAN YBhg Dato' Sazmi Miah Pengerusi KESEDAR Sempena Tahun Baharu 2019

YBhg Dato' Sazmi Miah

 

Bismillahirrahmanirrahim

Tahun 2019 menuntut perubahan besar dalam minda kita semua ke arah lebih positif selaras dengan kedudukan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14). Untuk itu, aspek tanggungjawab perlu diberikan keutamaan oleh semua pihak, bukan sahaja di kalangan warga kerja KESEDAR, bahkan rakyat di Wilayah Kelantan Selatan supaya peranan masing-masing dapat dipenuhi secara adil dan saksama. Justeru, intipati tanggungjawab menuntut untuk difahami dan diselami secara mendalam sebagai usaha menterjemah tanggungjawab sebenar setiap rakyat di Wilayah Kelantan Selatan secara inklusif serta ikhlas.

Jika diteliti di setiap kampung, pasti ada golongan yang memerlukan bantuan terutama golongan miskin tegar atau mungkin dalam kalangan B40. Mereka perlu dibantu bukan sahaja dari segi kemudahan-kemudahan infrastruktur serta perumahan malah yang lebih utama dan penting ialah pendapatan bagi menyara kehidupan seharian mereka. Sehubungan dengan itu, peranan KESEDAR harus diperluaskan bagi mengurangkan beban sara hidup penduduk Wilayah Kelantan Selatan dengan langkah-langkah yang lebih proaktif serta lebih banyak inisiatif-inisiatif baharu yang diperkenal bagi tambahbaik tadbir urus sepanjang tahun 2019. Program-program ekonomi berskala besar serta berimpak tinggi harus dirintis bagi memberi peluang kepada belia dan beliawanis mendapat pekerjaan dan memperolehi pendapatan tetap.

Selain dari itu, inisiatif-inisiatif baharu 2019 yang diperkenalkan oleh KPLB perlu diambil peluang oleh KESEDAR terutamanya di bawah Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar, 2018-2023 dan Program Desa Harapan iaitu berkolaborasi dengan Syarikat-Syarikat Swasta bagi membangunkan kampung-kampung di Wilayah Kelantan Selatan.

Harapan saya juga bersandarkan kepada warga kerja KESEDAR yang sentiasa komited dan kompeten bagi membantu komuniti-komuniti kampung khususnya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi meningkatkan keupayaan pengurusan kampung secara sistematik, dan seterusnya mengecilkan jurang pembangunan dan kemajuan antara kampung dan bandar.