Perutusan Pengurus Besar Perutusan Pengurus Besar

PERUTUSAN YABrs En. Iskandar Zurkarnain bin Ibrahim Pengurus Besar KESEDAR Sempena Tahun Baharu 2018

YABrs En. Iskandar Zurkarnain bin Ibrahim

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Satu Malaysia Dan Salam Satu KESEDAR. Alhamdulillahirobbil 'alamin, wabihi nasta'in.

Saya memanjat setinggi kesyukuran, Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana di bawah rahmatnya dan inayahnya, kita masih diberi kesempatan untuk meneruskan ibadah dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat tahun baru 2018 kepada semua warga kerja KESEDAR. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk melaksanakan amanah sebagai Pengurus Besar KESEDAR yang baharu. Namun begitu, tanpa kerjasama daripada semua, saya tidak mampu untuk menjayakan visi serta misi KESEDAR.

Pada awal tahun baru ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua warga kerja KESEDAR yang telah menjayakan pelaksanaan semua aktiviti/program yang dirancang sepanjang tahun 2017. Walaupun, di dalam keadaan serba kekurangan, peruntukan yang terhad serta kekangan masa namun kita berjaya melaksanakan aktiviti-aktiviti utama yang telah direncanakan. Kejayaan ini dapat diukur dengan pelaksanaan projek-projek utama KESEDAR dalam usaha untuk membantu memartabatkan kumpulan sasar di kawasan Kelantan Selatan. Sepanjang tahun 2017, KESEDAR telah berjaya melaksanakan sebanyak 215 projek di bawah Peruntukan Pembangunan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM59,796,396.00.

Kejayaan ini menunjukkan kita semua berusaha keras menjayakan aktiviti serta mengamalkan budaya kerja cemerlang yang memberi impak besar kepada pembangunan kawasan Kelantan Selatan. Saya juga turut berbangga dengan pencapaian KPI yang ditetapkan pada tahun 2017 yang hampir mencapai 100% pelaksanaan. Oleh itu bagi tahun ini, diharap semua bahagian utama telah bersedia dengan KPI yang direncanakan, mengikut perancangan dan mencapai sasaran outcome ditetapkan.

Meskipun kita berbangga dengan pencapaian ini, tidak semestinya kita semua cepat berpuas hati kerana tahun 2018 lebih mencabar dan memerlukan komitmen jitu dari kita. Oleh itu, saya mengajak semua anggota kerja melipatgandakan lagi usaha-usaha dengan melaksanakan pemantauan berkala agar segala kepincangan pelaksanaan aktiviti dapat dikesan awal seterusnya tindakan penambahbaikan dapat dilakukan dengan segera. InsyaAllah segala usaha yang kita lakukan, demi agama, bangsa dan negara diberkati.

Sebelum mengakhiri ucapan , saya sekali lagi menyeru kepada semua agar dapat melipatgandakan lagi usaha bagi pencapaian yang lebih cemerlang untuk tahun 2018. Harapan saya semoga tahun 2018 memberi kesejahteraan dan iltizam yang cukup bermakna dalam usaha kita meningkatkan imej dan peranan KESEDAR. Saya percaya komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh daripada semua warga kerja KESEDAR akan mencorakkan kejayaan pada masa-masa akan datang .

Sekian, wabillahitafik walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih