Perutusan Pengurus Besar Perutusan Pengurus Besar

PERUTUSAN YABrs. Tuan Haji Fazam bin Mat Lazim Pengurus Besar KESEDAR Sempena Tahun Baharu 2017

Tuan Hj Fazam Bin Mat Lazim

Bismillahirahmanirahhim, assalamualaikum WBT.

Yang Berusaha Timbalan-Timbalan Pengurus Besar, Pengurus-Pengurus Bahagian dan Ketua-Ketua Unit, Ketua Pegawai Eksekutif Anak Syarikat, Ketua Unit JKR KESEDAR, penjawat-penjawat KESEDAR yang telah bersara, tuan-tuan dan puan-puan warga KESEDAR yang saya kasihi sekalian.

Pertamanya saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita sekali lagi diberi kesempatan untuk sama-sama berkumpul pada pagi yang penuh barakah ini pada Majlis Penyerahan Watikah Gerak Kerja 2017. Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2017 kepada seluruh warga KESEDAR yang hadir hari ini.

Alhamdulillah, dengan kedatangan 2017 ini bermakna kita telah meninggalkan tahun 2016 dengan membawa bersama pelbagai pencapaian yang membanggakan. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga KESEDAR yang telah bertungkus-lumus dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan program-program KESEDAR sepanjang tahun 2016 yang lalu.

Sehubungan dengan itu, saya amat berharap agar semua pihak dapat meneruskan usaha gigih dan dinamik bagi meneruskan kesinambungan pelaksanaan program-program KESEDAR yang telah dirancang untuk tahun 2017 ini. Saya juga meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada seluruh warga KESEDAR agar sentiasa memastikan agenda pembangunan luar bandar diletakkan sebagai keutamaan dalam penyampaian perkhidmatan KESEDAR untuk memberikan khidmat bakti dengan lebih bersemangat agar kualiti perkhidmatan yang diberikan pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Banyak usaha yang perlu kita lakukan demi kesinambungan transformasi membandarkan luar bandar ini, melalui perancangan khusus yang perlu kita rangka untuk memastikan pembangunan di kawasan KESEDAR dapat diteruskan dengan lebih holistik dan berkesan.

Justeru, bagi tahun 2017 ini, mendukung hasrat kementerian, KESEDAR akan meneruskan inisiatif transformasi luar bandar dengan memfokuskan kepada pelaksanaan projek atau program touch points yang bersifat rakyat centric dan boleh dilaksanakan dalam tempoh yang segera. Ini dapat memastikan masyarakat di Wilayah Kelantan Selatan memperoleh manfaat menyeluruh sama ada dari segi prasarana, ekonomi, perumahan dan pendidikan. Ia juga bagi memastikan bantuan-bantuan tersebut dirasai oleh masyarakat luar bandar dan memenuhi keperluan dan kehendak golongan yang disasarkan.

Menerusi bajet 2017, kesedar akan menggunakan keseluruhan peruntukan yang diluluskan bagi melaksanakan sejumlah 202 projek seperti berikut:

  • Ladang Rancangan Kemajuan Tanah dengan 3 komponen utama iaitu meneruskan kerja-kerja penyelenggaran ladang di 9 RKT yang merangkumi ladang seluas 8,312 hektar, pembekalan baja 9,183.4 metrik tan dan bekalan anak sawit sebanyak 242,400 pokok.
  • Hentian Rehat dan Rawat Kuala Balah – bagi meneruskan kerja-kerja menaiktaraf R&R Kuala Balah yang telah dimulakan pada tahun 2016, dengan peruntukan tahun 2017. Komponennya terdiri dari 8 unit kedai, sebuah dewan terbuka, surau, tandas dan dataran kejat.
  • Dewan Tertutup KESEDAR Gua Musang.
  • Utiliti desa - yang melibatkan 13 projek bekalan elektrik dan 23 projek bekalan air.
  • Jalan pertanian - sebanyak 35 projek bagi membina dan menaiktaraf jalan sepanjang.
  • Jalan perhubungan desa – bagi membina/menaiktaraf jalan-jalan di Wilayah Kuala Krai, Tanah Merah/Jeli, Gua Musang dan di Rancangan Kemajuan Tanah dan jalan sepanjang 50 km, melibatkan 50 projek.
  • Projek kemudahan awam bagi pembinaan 7 buah dewan, 10 buah surau, 8 buah gelanggang futsal, 10 unit longkang dan 35 projek yang berkaitan.

Projek-projek yang melibatkan perolehan pembelian terus, undian dan sebutharga, insyallah akan siap sepenuhnya menjelang Jun nanti, manakala pelaksanaan projek-projek melalui lain-lain perolehan akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Projek-projek yang akan dilaksanakan ini dijangka secara langsung dan tidak langsung meningkatkan peluang untuk meninggikan pendapatan yang boleh menjana ke arah peningkatan kualiti hidup masyarakat Kelantan Selatan di luar bandar.

Selain daripada itu kita juga dijangka menerima peruntukan wang amanah daripada KKLW bagi melaksanakan projek-projek mega seperti berikut:

  • Jalan luar bandar menaiktaraf Jalan Tanah Merah-Kusial-Kg. Ipoh.
  • Projek bekalan air Chalil.
  • Projek baiki cerun Jalan Paloh 3 ke Lebir.
  • Lain-lain projek dibawah Program Peningkatan Pendapatan, bekalan air luar bandar, pembinaan dan baiki rumah serta Program-Program Pembangunan Keusahawanan.

Persaraan adalah destinasi yang pasti dihadapi oleh setiap penjawat awam. Sejak awal perkhidmatan lagi kita sebagai penjawat awam telah sedia maklum bahawa persaraan itu adalah pengakhir kepada perkhidmatan kita. Peranan sebagai seorang penjawat awam memberi pengalaman yang sangat menarik, penuh dengan kenangan, dugaan dan cabaran serta banyak ilmu pengetahuan yang boleh dikongsikan.

Dunia persaraan adalah fitrah perjalanan hidup sebagai penjawat awam. Kita akan bersara apabila mencapai umur bersara i.e umur wajib bersara mengikut undang-undang iaitu 60 tahun atau jika ada perkara berkaitan kesihatan yang memerlukan kita bersara awal.

Walaupun usia bersara ini dianggap sebagai penamat kerjaya tetapi persaraan bukan sebuah pengakhiran untuk kita kerana persaraan itu hanyalah dalam konteks perkhidmatan sebagai seorang penjawat awam. Persaraan yang dihadapi ini hanya melepaskan seseorang penjawat awam dari peraturan dan ikatan sebagai penjawat awam.

Hakikatnya, saya berkeyakinan peluang di luar perkhidmatan awam masih luas untuk diceburi. Segala kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat dalam perkhidmatan awam boleh menjadi aset untuk terus aktif dan menggapai lebih banyak kejayaan selepas persaraan. Justeru, jika ada yang berminat menceburi bidang perniagaan dan korporat, atau apa jua bidang yang dirasakan boleh mendapatkan pulangan yang baik, maka peluang di luar sentiasa terbuka untuk diterokai.

Pada masa sama, kita juga perlu mengakui bahawa alam persaraan juga adalah masa yang ditunggu-tunggu untuk merehatkan diri dan menenangkan fikiran setelah berpuluh-puluh tahun bekerja dalam perkhidmatan awam. Persaraan menyediakan ruang yang banyak dan kesempatan kepada kita untuk bersama-sama dengan keluarga tercinta.

Walau bagaimanapun pada pandangan saya, kesihatan merupakan perkara utama yang perlu kita beri perhatian supaya kita dapat menikmati persaraan dengan lebih bermakna. Oleh yang demikian amalan menjaga kesihatan perlulah diberikan keutamaan.

Para hadirin yang saya kasihi sekalian,
Program-program touch points yang akan dilaksanakan oleh KESEDAR ini adalah selari dengan tema transformasi luar bandar iaitu ‘membandarkan luar bandar’, yang telah dibincangkan secara khusus menerusi Mesyuarat Khas YB. Menteri bersama Pengurus Program atau Retreat KKLW yang telah diadakan pada 8 hingga 10 disember 2016 yang lalu.

Justeru, saya amat mengharapkan agar impak pelaksanaan program-program ini akan menjadikan kawasan KESEDAR lebih kondusif dengan pelbagai aksesibiliti dan kemudahan seperti infrastruktur, pembangunan modal insan, pertambahan aktiviti ekonomi dan menggalakkan generasi muda untuk terus kekal menetap dan membina masa depan di luar bandar. Saya amat yakin, dengan usaha gigih, kerjasama dan komitmen oleh semua pihak, kita akan dapat mencapai matlamat dan sasaran yang ditetapkan.

Kepada yang akan bersara saya bagi pihak pengurusan KESEDAR, mengucapkan terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan khidmat bakti yang diberi sepanjang perkhidmatan tuan-puan. Jasa bakti dan segala budi yang dicurahkan selama ini akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah dan akan menjadi kenang-kenangan sampai bila-bila.

Para hadirin, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi sekalian,
Sebelum saya mengundurkan diri, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis ini. Begitu juga kepada tuan-tuan dan puan-puan warga KESEDAR di atas tumpuan dan perhatian sepanjang majlis ini. Apa yang baik itu, kita ambil dan jadikan sandaran serta panduan kepada usaha yang lebih gigih dalam melaksanakan tanggungjawab kita pada tahun ini. Semoga majlis kita pada hari ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan seterusnya menjadi pemangkin semangat untuk kita memajukan masyarakat kawasan wilayah kelantan selatan secara menyeluruh.

Keretapi menyusur gagah
Cantik panjang seperti lipan
Kita bekerja kerana amanah
Laksanakan ia penuh kewajipan

Akhir kata adalah menjadi harapan saya supaya tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan terus menerus menyampaikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang dan berintegriti sepanjang masa.
Sekian, wabillahhi taufik walhidayah. Assalamualaikum warohmatullah.