Ucapan Tahun Baharu YB Menteri Pembangunan Luar Bandar Ucapan Tahun Baharu YB Menteri Pembangunan Luar Bandar


Salam Bahagia & Salam Luar Bandar Sejahtera,

Di ambang tahun baharu 2020, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua warga KPLB, agensi dan semua anak syarikat berkaitan.

Tahun 2020 amat besar nilai dan maknanya buat kita semua warga Malaysia. 30 tahun yang lalu, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia telah mengutarakan gagasan Wawasan 2020. Alhamdulillah, hari ini bukan sahaja kita diberikan ruang dan peluang untuk meniti detik tahun 2020, malah kita dapat mewarisi tanah air yang terus aman dan lebih makmur serta sejahtera.

Kita juga wajar bersyukur diberi kesempatan untuk terus bersama pemimpin ulung dan negarawan yang kita kasihi. Marilah kita sama-sama doakan agar ayahanda YAB Tun dan isteri terus dianugerahi nikmat kesihatan. Saya juga mendoakan agar semua warga KPLB dilimpahi anugerah kesihatan dan keselamatan dalam kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab di tahun baharu ini.

Sesungguhnya, tahun 2020 membuka lembaran baharu buat kita semua sebagai jentera kerajaan yang memikul amanah untuk berkhidmat kepada rakyat. Kepimpinan negara telah melakar kesinambungan hala tuju negara di bawah Malaysia Baharu dengan menggagaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Wawasan ini merupakan dasar induk perancangan dan hala tuju negara. Di peringkat kementerian kita sendiri, Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 telah kita gariskan sebagai kerangka pelaksanaan semua program dan inisiatif kementerian ke arah pencapaian matlamat Luar Bandar Sejahtera.

Insya-Allah, dengan pengalaman, kepakaran dan kemahiran warga KPLB sekalian, saya yakin kita berupaya menggerakkan visi dan misi kita bersama demi kepentingan rakyat dan negara.

Dalam Mesyuarat Hala Tuju Strategik KPLB yang dihadiri oleh para pegawai kanan kementerian dan agensi di Langkawi pada awal bulan Disember lalu, saya ada meminta mereka untuk menulis sendiri apakah azam mereka secara peribadi untuk tahun 2020. Saya amat terharu apabila menelaah satu persatu nukilan mereka yang secara keseluruhannya meletakkan azam dan tekad untuk memberikan komitmen sehabis baik dalam menggerakkan agenda kementerian, khususnya MEMBANGUNKAN MASYARAKAT LUAR BANDAR dan MEMBEBASKAN MEREKA YANG MASIH TERBELENGGU DENGAN KEMISKINAN di kawasan luar bandar.

Hakikatnya, inilah tugas kita. Inilah amanah yang disandarkan kepada kita, dan inilah juga harapan saya kepada semua warga KPLB. Apa juga jawatan dan peranan kita dalam organisasi ini, setiap daripada kita adalah amat penting dan amat diperlukan dalam menjayakan agenda kementerian dan kerajaan secara keseluruhannya.

Apa jua cabaran yang kita hadapi, ingatlah bahawa kerja dan amanah ini wajar diteruskan sehabis baik kerana ramai insan di luar sana yang mengharapkan perubahan kepada keadaan hidup dan persekitaran mereka. Mereka menanti dan mengharap hari demi hari, dan kita juga harus bekerja kuat hari demi hari untuk membawa perubahan dan penambah baikan itu.

Setiap daripada kita akan berhadapan dengan cabaran dalam bentuk yang berbeza-beza, namun yakinlah, dengan niat yang betul, segala usaha akan boleh dilaksanakan dan sebaik-baik ganjaran yang kita seharusnya harapkan adalah daripada Allah S.W.T.

Selamat Tahun Baharu dan Semoga Tahun 2020 ini akan memberikan lebih banyak kejayaan kepada kita semua.

'LUAR BANDAR SEJAHTERA'

Salam hormat,


RINA MOHD HARUN