Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) menganjurkan Majlis Hari Raya Aidilfitri pada 22 Mei 2022 bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR.
Majlis kali ini mendapat sambutan hangat hampir 3000 orang penduduk sekitar Gua Musang yang berduyun-duyun datang menjamu selera seawal jam 11.00 pagi dengan membawa keluarga masing-masing. Dr. Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan rasa terharu atas kesudian masyarakat memenuhi jemputan dalam usaha untuk mengeratkan hubungan antara kepimpinan KESEDAR dengan seluruh warga Wilayah Kelantan Selatan khususnya di Jajahan Gua Musang. Beliau berhasrat memperkukuhkan hubungan mesra dengan kumpulan sasar dan meningkatkan kolobarasi dengan pelbagai agensi dan jabatan di Wilayah Kelantan Selatan demi kepentingan pembangunan sosioekonomi masyarakat.
KESEDAR tidak melupakan tanggungjawab menjaga kebajikan penduduk di seluruh negeri Kelantan apabila menyampaikan bantuan zakat berjumlah lebih RM200,000 kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan. Selain itu, KESEDAR turut menyampaikan zakat kepada 120 orang asnaf yang terdiri daripada anak yatim, Ibu tunggal, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) berjumlah hampir RM 25,000. Bantuan-bantuan ini adalah menepati dokongan keluarga KESEDAR terhadap agenda Keluarga Malaysia.
Majlis diserikan dengan pembukaan acara yang mengangkat budaya tradisi melayu pencak silat lengkap dengan iringan paluan gendang dan tiupan serunai yang menghidupkan semula nostalgia suasana Hari Raya yang telah ditinggalkan puluhan tahun lampau. Kemeriahan turut mendapat perhatian YB. Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bachok merangkap mantan Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR, YB. Tuan Haji Ab. Aziz Yusoff, ADUN Nenggiri merangkap Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR, YB. Tuan Hj. Amran Ariffin, ADUN Paloh, YB. Mohd Syahbuddin Hashim, ADUN Galas. Ia turut dirasai ketua-ketua agensi Jajahan Gua Musang, Ketua- ketua Peneroka RKT dan semua yang berkunjung.