Digitalisasi KESEDAR : Pendedahan E-Desa Kepada Usahawan

GUA MUSANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) terus komited  membangunkan usahawan kawasan luar bandar bagi mendepani cabaran perniagaan pasca COVID-19 melalui transformasi perniagaan daripada konvensional kepada e-dagang dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Justeru itu, KESEDAR mengambil langkah proaktif  membuka peluang kepada usahawan luar bandar menimba ilmu dalam penggunaan platform E-Desa kepada usahawan terpilih di KESEDAR. E-Desa merupakan satu aplikasi ‘Produk Orang Kita’ yang menfokuskan produk dan perkhidmatan Industri Kecil Sederhana (IKS) termasuk pertanian, hasil laut, makanan, inap desa, barang mentah dan buah-buahan. Ianya juga bersifat tempatan dan mesra pengguna yang dijangka akan memberi manfaat besar kepada usahawan dan pengguna.

Seramai hampir 100 orang usahawan dalam pelbagai jenis perniagaan terpilih menyertai bengkel yang diadakan selama tiga hari bermula pada 10 April 2022 melibatkan peserta daripada Jajahan Gua Musang,Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai. YABrs Dr Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR, dalam ucapan perasmian mengajak semua usahawan untuk memanfaatkan peluang mendalami ilmu perniagaan melalui e-dagang dan berharap aplikasi digital yang diperkenalkan ini dapat membantu mereka membina semula perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Program yang selari dengan agenda digitalisasi KESEDAR ini turut dihadiri oleh Puan Yunaiha  Ismail, Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan, Encik Mohd Ramadhan Sulaiman , Pengurus Pejabat Wilayah Gua Musang, Encik Saiful Zaharin Zakariya , CEO E-Desa, dan Puan Fadhilah Azmi, Pengarah Projek E-Desa.

Accessibility Toolbar