PULAU PINANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menganjurkan Mesyuarat Pemurnian Pelan Strategik KESEDAR 2022-2026 bersama Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR yang diadakan pada 11-13 Februari 2022 bertempat di Bahang Bay Hotel, Pulau Pinang. Mesyuarat ini dilaksanakan sebaik sahaja mandat baharu diterima daripada YB. Menteri dalam Mesyuarat Hala Tuju Strategik KPLB pada 11 Februari 2022.
Mesyuarat yang diadakan selama tiga (3) hari itu, KESEDAR telah mendapat khidmat nasihat Unit Permodenan Tadbiran (MAMPU) dan pakar akademik Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Kolaborasi 3 pihak ini bagi menyediakan Pelan Strategik yang selari dengan polisi antarabangsa Sustainable Development Goals (SDG), hala tuju Nasional (WKB 2030) dan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB). Penjajaran juga dibuat supaya selari dengan Pelan Strategik KPLB.
Penglibatan Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR sebagai stakeholders bagi mendapatkan input secara langsung dan jelas untuk memurnikan program yang akan dilaksanakan oleh KESEDAR dalam tempoh lima tahun mulai tahun 2022-2026. Perspektif yang jelas melalui bengkel ini membolehkan Pelan Strategik yang dihasilkan lebih komprehensif dan memenuhi aspirasi pelbagai segmen kumpulan sasar di Wilayah Kelantan Selatan serta relevan dengan dasar dan hala tuju Kerajaan.
Selaras dengan mandat YB. Menteri KPLB yang menekankan pembangunan wilayah melibatkan Revolusi Industri 4.0 dan digitalisasi serta kolaborasi strategik, KESEDAR memasuki era baharu dengan memberi fokus kepada Pendigitalisasi Wilayah dan Perindustrian Hab Halal. Pendekatan outreaching menjadi pilihan bagi mencari rakan strategik KESEDAR melibatkan kepakaran Pusat Pengajian Tinggi dan Pemain Industri dalam menjayakan agenda pembangunan yang bersepadu.
Industri Hab Halal dan Digitalisasi ini merupakan antara agenda utama yang diberi penekanan oleh KESEDAR bagi memastikan masyarakat di Wilayah Kelantan Selatan tidak ketinggalan dalam mendepani arus globalisasi. Pemerkasaan Industri Halal berskala besar dan berimpak tinggi akan disejajarkan dengan menggembleng usaha mendidik masyarakat dan menyediakan platform digitalisasi bersesuaian bagi membolehkan mereka menikmati kemakmuran bersama dengan masyarakat bandar secara lebih adil.
Selain itu, Mesyurat tersebut turut diselitkan dengan Kursus Asas Pengurusan Kewangan oleh Jabatan Audit Negara bagi memberi pendedahan dan kefahaman mengenai proses pengurusan kewangan kepada Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan Pegawai KESEDAR. Kursus ini signifikan dengan peranan ALP yang bertanggungjawab meneliti dan menilai prestasi pengurusan dan pencapaian kewangan organisasi seperti KESEDAR serta Anak Syarikatnya.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YB. Ustaz Nik Mohammad Abduh bin Nik Abdul Aziz, Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR. Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR, YBrs. Encik Bahari bin Mohamad Nor, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR, YBrs. Dr. Shahrir bin Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional KESEDAR.