Hari Raya KPLB 2022 – Warung KESEDAR Tambah Kemeriahan
Bangi – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah menganjurkan Majlis Hari Raya Aidilfitri pada 12 Mei 2022 bertempat di Dewan Tun Abdul Razak, INFRA.
Majlis hari raya KPLB disambut meriah dengan penyertaan semua warga kerja jabatan dan agensi yang menyediakan pelbagai menu istimewa kepada tetamu yang berkunjung. KESEDAR mengambil bahagian dengan menyajikan hidangan tradisi yang sinonim dengan masyarakat Negeri Kelantan seperti Kuih Akok dan Laksam.
Sokongan penuh KESEDAR kepada acara penting peringkat Kementerian diterjemahkan melalui penglibatan secara langsung 50 orang tenaga sukarelawan KESEDAR dalam penyediaan juadah istimewa dan mengalu-alukan kehadiran para tetamu daripada pelbagai Agensi Kerajaan di Putrajaya dan orang ramai dari kawasan sekitar.
Program yang mendapat sambutan baik penjawat awam dan swasta serta pelbagai lapisan masyarakat ini menjadi medium penting bagi KESEDAR untuk menjalinkan kerjasama lebih luas dan strategik dengan banyak pihak berkepentingan. Pertemuan secara tidak formal dan lebih mesra memberi peluang kepada warga KESEDAR yang hadir meluaskan jaringan hubungan dan mendapat maklum balas yang lebih tepat mengenai organisasi ini.
Majlis bertambah seri lagi dengan kehadiran YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Sri Hj. Abdul Rahman Hj. Mohamad, Timbalan Menteri 1 KPLB, YB Datuk Hj. Hasbi Hj. Habibollah, Timbalan Menteri 2 KPLB dan YBhg. Dato’ Ramlan Harun, Ketua Setiausaha KPLB. Turut hadir beberapa Menteri Kabinet, Ketua-Ketua Agensi, Pengurus-pengurus Bahagian KPLB dan wakil-wakil media.