Kolaborasi Strategik Pemacu Pembangunan Sosioekonomi Wilayah Kelantan Selatan: KESEDAR – DXN

KEDAH – Pengurusan Tinggi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) mengambil inisiatif mengadakan lawatan kerja ke Kilang DXN Pharmaceutical (M) Sdn. Bhd.  pada 14 Februari 2022 di Jitra, Kedah sebagai langkah awal ke arah menjadikan Gua Musang sebagai salah satu Industri Hab Halal di negara ini.

Outreaching secara agresif ke lokasi tapak industri adalah bagi meneliti dan mendapatkan gambaran jelas pengoperasian kilang yang menjadi pendekatan pengurusan KESEDAR bagi membuka lembaran baharu usaha membangunkan Wilayah Kelantan Selatan. Tindakan ini selari dengan hasrat Pengurus Besar bagi memastikan agenda luar bandar sejahtera sentiasa dijulang. Lawatan tersebut melibatkan 3 kilang utama produk kesihatan berasaskan cendawan spesis Ganoderma dan Lingzhi dalam produk makanan dan minuman terutamanya kopi. Selain itu, tidak ketinggalan juga lawatan turut melibatkan kolam penternakan Spirulina yang menjadi bahan penting dalam produk kosmetik dan kecantikan.

Produk keluaran DXN yang mendapat persijilan penting seperti TGA Australia, GMP, HACCP, ISO dan sijil halal JAKIM menarik minat KESEDAR untuk menjalinkan kerjasama dengan pemain utama industri kesihatan ini. KESEDAR nekad untuk berkolaborasi sebagai rakan niaga penting DXN yang telah berjaya mengeluarkan 200 produk untuk pasaran ke 180 buah negara sehingga kini. Kerjasama perniagaan pada skala besar yang dijadualkan dapat dimeterai pertengahan tahun 2022 berkenaan dijangka dapat memberi peluang pekerjaan kepada 1,000 orang penduduk Gua Musang, selain membuka peluang kepada usahawan tani luar bandar untuk menjadi pembekal bahan mentah kepada syarikat produk kesihatan gergasi ini.

Lawatan yang diketuai oleh YBrs. Encik Bahari bin Mohamad Nor, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR tersebut turut disertai Ahli-ahli Lembaga Pengarah seperti YB. Hj Ab. Aziz bin Yusof, YBrs. Encik Azize bin Taib dan YBrs. Encik Azman bin Ahmad. Hadir sama YBrs. Dr. Shahrir bin Mohammad Zakey, Pengurus Besar dan pihak Pengurusan KESEDAR.

Accessibility Toolbar