GUA MUSANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menganjurkan Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 & Program Walkabout YB. Menteri KPLB ke KESEDAR yang bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, pada 24 Januari 2022.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran YB. Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid bersama-sama YB. Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri I, dan YB. Datuk Haji Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri II.
Acara yang menghimpunkan seluruh warga KESEDAR secara fizikal dan maya tersebut diadakan sebagai satu wadah untuk mendengar amanat dan aspirasi pucuk pimpinan tertinggi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Dalam perhimpunan penting yang julung kali melibatkan barisan pemimpin utama KPLB tersebut, YB. Menteri menekankan kepentingan budaya kerja berprestasi tinggi dan kesegeraan dalam penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. Etos perkhidmatan ini penting untuk disemai dan dipraktikkan dalam kalangan warga KESEDAR supaya perkhidmatan yang diberikan kepada warga Kelantan Selatan akan lebih komprehensif dan berimpak.
Dalam program utama KESEDAR itu telah disempurnakan Pelancaran Pelan Strategik Pendigitalan KESEDAR 2021-2025 dan Majlis Perasmian Dewan KESEDAR yang dinamakan sebagai Dewan Dato’ Ariffin Said. Pelan berkenaan menjadi rujukan KESEDAR dalam memperkukuh agenda digitalisasi agensi, manakala nama baharu dewan adalah bagi memperingati jasa dan sumbangan Allahyarham Dato’ Ariffin Said yang merupakan bekas Pengerusi dan Pengurus Besar KESEDAR yang pertama.
Majlis tersebut turut dihadiri YBhg. Dato’ Ramlan Harun, Ketua Setiausaha KPLB, YB. Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Pengerusi KESEDAR, YBrs. Dr. Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR dan YBrs. Tuan Haji Ab. Pattah bin Hasbullah, Ketua Jajahan Gua Musang.
Selain itu, YB Menteri KPLB juga turut merasmikan Jambatan Pemberian di Kg. Pemberian, Kuala Krai yang dibina dengan menelan kos berjumlah RM 28.6 juta. Jambatan berkenaan dibina bagi menggantikan jambatan lama yang telah lama dan tidak selamat bagi digunakan oleh penduduk kampung serta sering tenggelam apabila tiba musim banjir sekaligus menyukarkan urusan seharian penduduk kampung.
Majlis perasmian tersebut diserikan lagi dengan kehadiran YB. Datuk Haji Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri II, YBhg. Dato’ Ramlan Harun, Ketua Setiausaha KPLB, YB. Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Pengerusi KESEDAR, YB. Ustaz Abdul Latif bin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kuala Krai, YB. Datuk Ahmad Jazlan bin Yaakub, Pengerusi FELCRA Berhad, Ahli Pengerusi KESEDAR Holding Sdn. Bhd dan YBrs. Datuk Hj. Mohamed Zulkepli bin Omar.
Pada 25 Januari pula, YB. Menteri KPLB telah mengadakan satu sesi kunjungan hormat ke atas YAB. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya yang turut disertai oleh YB. Dato’ Haji Mohd Amar bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan. Manakala YB Menteri KPLB diiringi YBhg. Dato’ Ramlan bin Harun, KSU KPLB, YBrs. Dr Shahrir bin Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR dan YBrs. Nasrul Haqiim Mohd Nasir, Pengarah KPLB Kelantan.
Dalam sesi kunjungan hormat itu juga, kerajaan Negeri Kelantan telah bersetuju untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi projek berkepentingan rakyat terutamanya di Wilayah KESEDAR. Selain itu, task force telah ditubuhkan melibatkan KPLB dan kerajaan negeri bagi meneliti perkara-perkara yang melibatkan kepentingan masyarakat luar bandar di Kelantan serta mencari jalan penyelesaian dengan lebih pantas dan sempurna.