Pengajian Ilmu Agama: KESEDAR bantu 21 Masjid

GUA MUSANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM 38,400 kepada 21 buah masjid di Wilayah Kelantan Selatan bagi pelaksanaan Program Pengajian Ilmu Agama di kawasan KESEDAR.

Sumbangan berkenaan telah disempurnakan oleh YABrs Dr Shahrir bin Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR kepada imam-imam yang mewakili masjid masing-masing. Program tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang.

Bantuan sederhana yang julung kali diberikan tersebut akan memanfaatkan 3 buah masjid dari Gua Musang (RM 6,000), 4 buah masjid Kuala Krai (RM 7,200), 5 buah masjid Jeli – Tanah Merah (RM 9,000), dan 9 buah masjid dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) (RM 16,200).

Program Pengajian Ilmu Agama diwujudkan di bawah Program Rehabilitasi KESEDAR yang bermatlamat untuk mengimarahkan masjid dengan pengisian aktiviti pengajian serta menggalakkan masyarakat meningkatkan ilmu pengetahuan. Ia akan di adakan seminggu sekali di masjid-masjid yang terpilih yang mana KESEDAR membiayai kos tenaga pengajar yang dilantik.

Pelaksanaan program ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada pengajar menyumbang dan berkongsi ilmu mereka dengan masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sejahtera, aman dan harmoni.

Bertepatan dengan fungsi dan misi KESEDAR yang memberi penekanan terhadap pembangunan holistik termasuk modal insan, agensi ini akan terus membantu untuk memperkasa institusi agama di Kelantan Selatan agar masyarakat berkeperibadian unggul dapat dibentuk.

Dalam ucapannya, YABrs Pengurus Besar menzahirkan rasa teruja atas perjumpaan pertama dengan para imam bagi berkongsi pandangan untuk berganding bahu bagi kepentingan masyarakat di Wilayah KESEDAR. Dr Shahrir berhasrat untuk bekerjasama dengan pentadbir masjid dalam program bercorak usahawaniaga dan kegiatan pembangunan modal insan masyarakat. Beliau juga menyarankan untuk masjid dapat menjadi tumpuan belia melalui aktiviti konvensional dan maya dengan kolaborasi bersama KESEDAR.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Encik Mohd Fadhly bin Manaf, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Encik Ramadhan bin Sulaiman, Pengurus Wilayah Gua Musang, Encik Husnifaisal bin Ramli, Pengurus Wilayah Jeli-Tanah Merah, Tuan Haji E.Samudin bin Basri, Pengurus Wilayah Kuala Krai dan Encik Wan Mohd Afzainizam bin Wan Abdul Latif, Pengurus Bahagian Pembangunan Pertanian.

Accessibility Toolbar