Rehabilitasi Kesedar : Program Jalinan Kasih

GUA MUSANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah melancarkan Program Jalinan Kasih bagi menghargai jasa bakti guru-guru Al-Quran terpilih yang mengajar secara percuma kepada penduduk pelbagai peringkat usia.

Sebagai tanda apresiasi, KESEDAR memberi sumbangan wang tunai berjumlah RM 20,000 kepada 100 orang guru Al-Quran sejajar dengan hasrat pembangunan modal insan yang menjadi salah satu agenda penting di kawasan luar bandar. Program yang melibatkan seluruh wilayah Kelantan Selatan itu sedikit sebanyak memberi manfaat kepada tenaga pengajar ilmu asas Al-Quran yang majoritinya terdiri daripada kalangan masyarakat peneroka dan tidak berpendapatan tetap.

Inisiatif ini merupakan ilustrasi kepada peranan KESEDAR yang bertanggungjawab memajukan masyarakat Kelantan Selatan termasuklah aspek  pembangunan insan dan kerohanian. Program tersebut telah bermula pada 10 April 2022, di RKT Renok Baru dan Sungai Asap yang dihadiri oleh YB Tuan Haji Ab. Aziz Yusof, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Nenggiri merangkap Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR, YABrs Dr Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR, dan Encik Wan Mohd Afzainizam Wan Abdul Latif, Pengurus Bahagian Pembangunan Pertanian.

Accessibility Toolbar