Rehabilitasi Komuniti : Bantuan Persekolahan

GUA MUSANG – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada 200 orang pelajar dari 9 buah sekolah jajahan ini melibatkan peruntukan RM 20,000.00 yang telah diadakan pada 8 Mac 2022, bertempat di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR.

Program ini akan turut diperluaskan ke sekolah-sekolah di Wilayah Kelantan Selatan seperti daerah Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah termasuklah kawasan Rantau Manis, Gua Musang secara berperingkat dengan anggaran jumlah keseluruhan mencecah hampir RM 100,000.00.

Menerusi bantuan ini, pelajar  daripada keluarga  miskin tegar, miskin dan B40 akan menerima sumbangan bernilai RM100.00 untuk membeli barangan keperluan sekolah seperti peralatan alat tulis, buku-buku dan seumpamanya.

Pemilihan pelajar berkenaan ditentukan oleh pihak sekolah masing-masing dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan hanya pelajar yang layak sahaja menerima bantuan tersebut dan tiada pelajar yang akan tercicir.

Pemberian bantuan tersebut signifikan kepada mereka yang memerlukan, khususnya dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi semasa dan peningkatan berterusan harga barang. Sumbangan ini diharap dapat meringankan  beban perbelanjaan persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa.

Turut hadir dalam majlis tersebut, YBrs Encik Mohd Zainy bin Yusoff, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pendidikan Khas), PPD Gua Musang dan YBrs Encik Mohd Fadhly bin Ab Manaf, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat.

Accessibility Toolbar