Jeli – Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada para pelajar di Jajahan Jeli yang diadakan di Dewan Komuniti Pejabat KESEDAR Wilayah pada 16 Mac 2022.
Bantuan ini bertujuan membantu penduduk menyediakan kelengkapan kepada anak-anak mereka yang bersekolah. Bantuan sebanyak RM 15,000.00 telah diagihkan kepada 150 orang pelajar sekolah menengah dan rendah jajahan berkenaan.
Menerusi bantuan ini, para pelajar yang dipilih oleh Pejabat Pendidikan Daerah Jeli telah menerima sumbangan bernilai RM100.00 untuk membeli barangan keperluan sekolah seperti alat tulis dan buku sekolah.
Usaha ini juga diharapkan dapat memberi sedikit kegembiraan dan menyuntik semangat pelajar yang akan memulakan sesi baharu persekolahan tidak lama lagi selain mengurangkan bebanan keluarga yang berpendapatan rendah.
Pengurus Besar KESEDAR dalam ucapannya mengajak masyarakat khususnya para belia dan wanita untuk memanfaatkan pelbagai bantuan keusahawanan yang ditawarkan KESEDAR terutama dalam perniagaan secara atas talian bagi mempertingkatkan pendapatan keluarga pasca COVID-19.
Majlis yang disempurnakan oleh Pengurus Besar KESEDAR, YABrs. Dr. Shahir bin Mohammad Zakey turut dihadiri En. Fadhly bin Ab. Manaf, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat dan En. Jamaluddin bin Saad , Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Jeli.