Semarak Kasih Ramadan KPLB Bersama Berita Harian : Sukarelawan KESEDAR Turut Serta Menabur Bakti

Sukarelawan KESEDAR turut bersama-sama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Berita Harian (BH) dalam memeriahkan program Semarak Kasih Ramadan KPLB-BH dengan turun ke lapangan bagi menyelami susah payah kehidupan pasca Covid masyarakat pada 16 April 2022 di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap.

Program Semarak Kasih Ramadan KPLB-BH dimulakan dengan aktiviti gotong-royong sejak awal pagi oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid al-Barakah, sukarelawan BH, KPLB dan KESEDAR serta penduduk setempat. Para sukarelawan bekerjasama dalam aktiviti menyembelih lembu, menyediakan persiapan juadah berbuka puasa dan memasak bubur lambuk. Penyertaan hampir 20 sukarelawan KESEDAR pada program tersebut sebagai tanda solidariti KESEDAR terhadap program kemasyarakatan dalam negara, terutama anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang melibatkan kepimpinan tertinggi Kementerian.

Program sehari penuh itu bersambung pada sebelah petang dengan lawatan dan penyampaian sumbangan ke beberapa rumah penduduk yang menghidapi penyakit kritikal sebagai tanda sokongan moral dan prihatin kepada mereka yang tidak bernasib baik. Acara diteruskan lagi dengan pengagihan bubur lambuk serta penyerahan apron Semarak Kasih Ramadan KPLB-BH kepada para peniaga Bazar Ramadan Lubuk Merbau, manakala bubur lambuk dan cenderamata daripada Berita Harian pula diberikan kepada para pengunjung bazar. Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian bantuan Aidilfitri dan sumbangan duit raya kepada hampir 150 golongan asnaf, termasuk anak yatim dan ibu tunggal. Penerima-penerima sumbangan ini kemudiannya diraikan dalam jamuan berbuka puasa bersama-sama pihak penganjur dan tetamu kehormat.

Majlis Semarak Kasih Ramadan KPLB Bersama Berita Harian ini disempurnakan oleh YB. Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar. Hadir bersama YBhg. Dato’ Ramlan Harun, Ketua Setiausaha KPLB, YBhg. Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Pengurus Besar KESEDAR dan Pengurus-pengurus Bahagian KPLB. Pihak Berita Harian diwakili oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Syed Hussian Aljunid, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad dan YBhg. Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman Pengurus Besar, Sokongan Jualan dan Pemasaran, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Accessibility Toolbar