Singgah Sahur Ramadan 2022: KESEDAR Hargai Jasa Frontliners

Gua Musang – KESEDAR menjayakan inisiatif baharu dalam membina jaringan hubungan kukuh dengan para petugas barisan hadapan (frontliners) melalui Program Singgah Sahur yang julung kali diadakan pada 28 April 2022 di Jajahan Gua Musang.

Program yang bermula seawal jam 3.30 pagi tersebut melibatkan 20 orang sukarelawan KESEDAR dengan 5 buah kenderaan yang memuatkan 150 bungkusan juadah sahur untuk diedarkan ke 5 lokasi bertugas para pegawai dan anggota pasukan barisan hadapan. Lokasi tersebut adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Hospital Gua Musang, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Jabatan Pertahanan Awam Gua Musang dan di sekatan jalan raya Kg Kundur, Gua Musang.

Penganjuran acara ringkas ini selain dapat menjalin hubungan rapat dengan jabatan berkenaan, ia juga sebagai sokongan moral dan keprihatinan KESEDAR terhadap jasa bakti para pegawai dan anggota benteng utama keselamatan dan kesejahteraan Wilayah Kelantan Selatan. Mereka bertugas dengan dedikasi setiap hari tanpa mengira waktu termasuk pada bulan Ramadan yang lebih mencabar.

Penyampaian bungkusan juadah sahur tersebut telah disempurnakan oleh YABrs. Dr. Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR kepada para petugas barisan hadapan. Turut hadir dalam program tersebut En. Mohd Fadhly Ab Manaf, Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat dan En. Mohd Ramadhan Sulaiman, Pengurus Wilayah Gua Musang.

Accessibility Toolbar