Titipan Kasih Harian Metro Dan KPLB : Sukarelawan KESEDAR Turut Serta Sediakan 4,000 Bekas Bubur Lambuk
KUALA LIPIS – Sukarelawan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) turut bersama-sama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Harian Metro memeriahkan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk perdana dibawah program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang diadakan di Kampung Tempoyang, Kuala Lipis pada 19 April lalu.
Sebanyak 4,000 bekas bubur lambuk berjaya disediakan secara gotong royong yang mana proses memasaknya bermula seawal jam 7.30 pagi. Ia termasuklah menyediakan bahan mentah dan memasak untuk diagihkan kepada penduduk sekitar Kuala Lipis, juga agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan jemaah Masjid Sayidina Ali Bin Abi Talib.
KESEDAR mengambil bahagian dalam program tersebut dengan penglibatan hampir 20 orang sukarelawan bagi membantu meringankan tugas semua pihak yang terlibat dalam penyediaan bubur lambuk berskala besar. Penyertaan sukarelawan KESEDAR dalam acara kemasyarakatan ini merupakan manifestasi sokongan KESEDAR terhadap program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dianjurkan oleh KPLB yang melibatkan kepimpinan tertinggi kementerian.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh YB. Dato’ Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri I, KPLB. Turut hadir bersama YBhg. Dato’ Ramlan Harun, Ketua Setiausaha KPLB, Noor Azam Abd Azi, Pengarah Projek TKHM, YABrs Dr Shahrir Mohammad Zakey, Pengurus Besar KESEDAR dan En Kamal Badrul Hisyam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif KESEDAR Holdings Sdn. Bhd.