YB Menteri KPLB Mengiringi Lawatan YAB PM Ke Kelantan

PASIR MAS – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob telah mengadakan lawatan bagi meninjau suasana banjir di Kelantan pada 02 Mac dengan diiringi beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Pembangunan Luar Bandar, Yang Berhormat Dato’ Seri Mahdzir Khalid.

Perdana Menteri telah menerima taklimat daripada Kerajaan Negeri dan menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan bagi mendapatkan gambaran mengenai impak banjir yang melanda disamping menghulurkan bantuan.

Dalam lawatan tersebut, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan akan membina rumah baharu sebagai ganti kediaman penduduk yang musnah sepenuhnya akibat banjir baru-baru ini.

Pembinaan rumah tersebut akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan kadar segera. Disamping itu, YAB Perdana Menteri turut menjelaskan bagi kerosakan kediaman akibat banjir dipecahkan kepada beberapa kategori bergantung tahap kerosakan rumah kediaman mangsa.

Lawatan kerja singkat tapi bermakna kepada mangsa banjir itu turut diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Musa, Menteri Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Yang Berhormat Datuk Sri Dr. Haji Ismail Haji Mohamed Said dan Ahli Parlimen Machang, Yang Berhormat Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Accessibility Toolbar