Bantuan KESEDAR Beri Manfaat Kepada Usahawan Luar Bandar

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) terus komited dalam usaha membantu usahawan luar bandar untuk terus mengembangkan perniagaan yang diusahakan.

Pelbagai jenis bantuan keusahawanan disalurkan oleh KESEDAR kepada usahawan luar bandar antaranya Program Industri Kotej Bersepadu (IKB).

Pada tahun ini, seramai 57 peserta telah mendapat manfaat daripada bantuan IKB, yang mana ia melibatkan bantuan mesin dan peralatan bernilai RM10,000 setiap peserta.

Bantuan ini terus menjadi ‘nadi’ apabila tujuh peserta lagi dari Bahagian Pembangunan Pertanian dan Pejabat Wilayah Gua Musang, menerima manfaat bagi mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih produktif.

Majlis Penyerahan Barangan Mesin dan Peralatan bagi Program Industri Kotej Bersepadu Fasa 2, KESEDAR 2023, ini disempurnakan Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.

Turut hadir, Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan yang kini menanggung kerja Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf, Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Pertanian, Puan Siti Fairuz Che Dolah serta Penolong Pengurus Pejabat Wilayah Gua Musang, Encik Ruzairie Ab Rashid.

Dalam pada itu, Haji W Muhd Rahimi turut menasihati peserta agar menggunakan bantuan peralatan yang diterima dengan baik dan tidak menyalahgunakan bantuan ini untuk kepentingan sendiri.

Accessibility Toolbar