Lawatan Pemantauan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Jeli, Kelantan
Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bersama wakil Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diketuai oleh Encik Amal Fariz Awang telah mengadakan lawatan pemantauan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Jeli, Kelantan.
Lawatan ini adalah tindakan susulan daripada hasil Mesyuarat Jawatankuasa Induk PROSPEK Bil.1 Tahun 2023 yang bertujuan memantau status pelaksanaan projek PROSPEK di kawasan berkenaan.
Sesi Lawatan ini memfokuskan tiga komponen utama iaitu ekonomi, perumahan dan prasarana di Kampung Air Chanal dan Kampung Sungai Satan pada 13 September 2023 (Rabu).
Antara lokasi lawatan ialah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Air Chanal, Projek Menaiktaraf Jalan Perkampungan di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT)Sungai Satan serta Projek Menaiktaraf Jambatan dan Reban Ternakan Ayam Kampung di Kampung Sungai Satan.
Program lawatan ini turut disertai Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan, Encik Mohd Fadhly Ab Manaf, Pengurus Wilayah Jeli/Tanah Merah, Encik Ramadhan Sulaiman, urusetia Bahagian Ekonomi dan Pelaburan serta wakil pejabat operasi.
KKDW melalui KESEDAR telah memperuntukkan RM8 juta bagi menjayakan program PROSPEK yang mana peruntukan yang disalurkan sehingga 2023 adalah sebanyak RM3.8 juta.
KESEDAR telah membelanjakan hampir RM3 juta bagi menjayakan program PROSPEK di kawasan Jeli sehingga bulan Ogos 2023.