Perhimpunan Bulanan yang berlangsung pada 6 Julai 2023 di Dewan Seri Lestari KKDW, Putrajaya telah dianjurkan oleh KESEDAR, yang mana majlis ini bertujuan menyampaikan keputusan-keputusan Kerajaan dan pengurusan tertinggi Kementerian kepada semua Warga KKDW termasuklah di agensi dan Lembaga Kemajuan Wilayah untuk dilaksanakan.
Dalam ucapan YAB TPM, beliau menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada agensi KESEDAR dan KEDA atas kelancaran persembahan sepanjang program diadakan. YAB TPM juga mengucapkan tahniah khas kepada Dr. Shahrir, Mantan Pengurus Besar KESEDAR atas kepimpinan dan teladan beliau dalam membimbing organisasi ke arah pendekatan yang lebih komprehensif. Usahanya telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan inisiatif KESEDAR.
Dalam majlis tersebut turut berlangsung persembahan dari agensi KESEDAR & KEDA, tayangan multimedia serta persembahan khas dari KESEDAR.
YAB TPM turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Perhimpunan Bulanan ini. Majlis tersebut adalah bukti kesungguhan dan usaha bersama dalam organisasi. Beliau menggalakkan semua pihak berkepentingan untuk terus bekerjasama demi kemajuan negara.
Majlis ini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, Ketua Setiausaha KKDW YBhg. Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun, YBhg. Datuk Che Murad Ramjan, Timbalan Ketua Usaha (Pembangunan),YBrs Encik Mas Rizal Mohd Hilmi, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan), YBrs Encik Mohd Kamal Bin Husin, Pengerusi Lembaga Pengarah Keda, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir Haji Baharom, Pengerusi Lembaga Pengarah KEDA serta Timbalan-Timbalan Pengurus (KESEDAR), Ketua-Ketua Pengarah, Pengurus-Pengurus Besar Agensi, Setiausaha Bahagian Dan Ketua Unit dan penjawat KKDW, KESEDAR dan KEDA.