Majlis Perhimpunan Bulanan KESEDAR
GUA MUSANG, 10 Ogos 2023 – Majlis Perhimpunan Bulanan KESEDAR telah berlangsung dengan penuh jayanya di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, Gua Musang pada hari ini. Majlis ini dianjurkan sebagai platform penting untuk mengumpulkan serta mengeratkan hubungan kerjasama dalam kalangan warga KESEDAR.
Antara program pengisian yang diadakan adalah ceramah kemerdekaan yang disampaikan oleh fasilitator terkemuka dari Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (I-LEAD), iaitu Encik Mohd Fauzi Shafii, Encik Norzilam Mohamed, dan Encik Haslizam Rozally.
Semasa ceramah berlangsung, kuiz online rukun negara yang disertai oleh para penjawat KESEDAR juga diadakan sebagai langkah untuk memupuk pemahaman mendalam tentang nilai-nilai asas negara.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KESEDAR, YBrs Tuan Haji W. Muhd Rahimi bin Wan Salleh. Dalam ucaptamanya, Tuan Haji W. Muhd Rahimi menekankan pentingnya peranan dan kerjasama yang erat dari semua anggota KESEDAR untuk memastikan penyelenggaraan agensi ke hadapan yang lebih cemerlang.
“Tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk menerajui serta menggerakkan agensi KESEDAR menuju pencapaian prestasi yang lebih tinggi. Saya amat mengharapkan agar kita semua dapat bersatu padu, proaktif, dan realistik dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan, terutama dalam pelaksanaan projek pembangunan di Wilayah Kelantan Selatan,” kata Tuan Haji W. Muhd Rahimi.
Majlis Perhimpunan Bulanan KESEDAR ini menunjukkan komitmen dan semangat kebersamaan anggota untuk mewujudkan agensi yang lebih dinamik, inovatif, dan berdaya saing. Semua pihak berharap agar usaha ini akan membawa KESEDAR ke arah pencapaian kegemilangan dan kecemerlangan yang lebih tinggi.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengurus Besar Pengurusan, Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh, Pengurus-Pengurus Bahagian, Ketua-Ketua Unit, Pengurus-Pengurus Wilayah, Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Pengurus Anak Syarikat KESEDAR, Pengawai-Pegawai serta penjawat KESEDAR.