Program Bina Insan, Bentuk Generasi Muda Berkarakter

Seramai 80 peserta dari golongan belia dari kawasan Jeli dan Tanah Merah menyertai Program Bina Insan (PBI) Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) Siri 2 2023, bertempat di KESEDAR Hotel Travel & Tours Sdn Bhd.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu adalah kesinambungan daripada program siri pertama yang diadakan di Al-Sakinah Resort, Janda Baik, Oktober lalu.

Program ini diperkenalkan bertujuan untuk membangunkan minda, motivasi diri, perubahan sikap dan pembangunan insan bagi kumpulan sasar komuniti luar bandar agar golongan ini lebih bermotivasi untuk meningkatkan ilmu, pendidikan, kemahiran dan pendapatan keluarga.

Ia sekali gus memberi anjakan paradigma kumpulan sasar luar bandar agar mampu berdikari pada masa hadapan.

Program ini dirasmikan oleh Pengerusi KESEDAR, Datuk Haji Zawawi Haji Othman dan diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim.

Turut hadir, Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan yang kini menanggung kerja Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf dan Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Puan Yunaiha Ismail.

Dalam ucapannya, Datuk Haji Zawawi turut menasihati peserta agar dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi dan mempraktikkannya dalam meningkatkan taraf kehidupan dan berusaha keluar dari kepompong kemiskinan.

Program ini merupakan salah satu program pembelajaran secara tidak langsung yang mana diterjemahkan melalui pembangunan minda mengikut empat proses asas pembelajaran iaitu iman, adab, ilmu dan amalan.

Accessibility Toolbar