Program Bina Insan, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Siri 01/2023
Seramai 71 belia di kawasan Kelantan Selatan iaitu di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT), jajahan Gua Musang dan Kuala Krai telah menyertai Program Bina Insan (PBI) Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) Siri 01/2023.
Program anjuran Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) ini berlangsung selama tiga hari iaitu dari 3 hingga 5 Oktober 2023 bertempat di Al Sakinah Resort, Janda Baik, Pahang.
Program yang diuruskan oleh Bahagian Pembangunan Masyarakat ini memberi pengalaman baru kepada peserta yang mana KESEDAR telah melantik syarikat Bitara Success Management sebagai konsultan yang diketuai oleh Encik Khaeril Anuar Bin Darus, yang berpengalaman menguruskan latihan institut korporat dan pendidikan berteraskan kaedah psikologi.
Turut hadir, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi bin Wan Salleh dan Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Puan Yunaiha binti Ismail.
Program ini diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun 2021 untuk membangunkan minda, motivasi diri, perubahan sikap dan pembangunan insan bagi kumpulan sasar komuniti luar bandar supaya golongan sasar ini lebih bermotivasi untuk meningkatkan ilmu, pendidikan, kemahiran dan pendapatan keluarga.
Program ini menyasarkan golongan miskin tegar, miskin dan berpendapatan rendah (B40) sekaligus sebagai usaha dalam menganjak paradigma kumpulan sasar luar bandar agar mampu berdikari pada masa hadapan.
Kumpulan sasar juga menfokuskan kepada anak-anak penerima bantuan SPKR dan keutamaan diberikan kepada belia yang berumur 17 hingga 25 tahun dengan peruntukan sebanyak RM1,000 setiap peserta.
Peruntukan itu meliputi kos pengurusan, bayaran perkhidmatan, penginapan, makan minum, peralatan, pengangkutan dan logistik.
Pada tahun 2023, KKDW telah meluluskan peruntukan kepada KESEDAR sebanyak RM160,000 dengan pelaksanaan dua siri program.