Program Lawatan Kementerian Ekonomi Ke Tapak Tanaman Kopi KESEDAR Paloh 4
Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah menerima kunjungan daripada Kementerian Ekonomi ke Tapak Tanaman Kopi KESEDAR Paloh 4, Gua Musang, hari ini.
Lawatan yang disertai 27 kakitangan Kementerian Ekonomi ini adalah salah satu intipati Kursus Agriculture Supply Chain : Benchmarking Best Practices yang diadakan kementerian berkenaan kepada kakitangannya.
Pengurus Bahagian Ekonomi dan Pelaburan, Encik Mohd Fadhly bin Ab Manaf, mewakili Pengurus Besar KESEDAR, memberi sedikit taklimat kepada rombongan berkaitan Pertanian Hasil Baru KESEDAR yang merangkumi Projek Tanaman Kopi seluas 2 hektar dan tanaman – tanaman lain yang akan dibangunkan di kawasan Paloh 4.
Turut hadir, Pengurus Bahagian Pembangunan Pertanian, Encik Wan Mohd Afzainizam bin Wan Abdul Latif, Ketua Pegawai Eksekutif KESEDAR Holding Sdn Bhd, Encik Kamal Badrul Hisyam Bin Mohamed, Pengurus KESEDAR Perkilangan Sdn Bhd, Encik Amirulah Bin Che Hasmi, wakil Nestle serta pegawai dan kakitangan KESEDAR.
Dalam pada itu, tiga wakil daripada Kementerian Ekonomi turut berpeluang menanam pokok kopi di Tapak Tanaman Kopi Paloh 4 sebagai simbolik lawatan tersebut.