Tiga Keluarga Teruja Terima PPRT

Lapan tahun menumpang di rumah mentua selepas kediamannya musnah dibadai Bah Kuning pada tahun 2014, seorang mekanik melahirkan rasa teruja apabila menjadi salah seorang penerima Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Manek Urai, Kuala Krai.

Hanya berpendapatan sekitar RM800 sebulan, Mohd Zulkifli Ayob, berkata gajinya itu cukup sekadar menyara isteri dan tiga anak mereka.

“Rumah kami musnah dalam kejadian banjir besar itu. Saya terpaksa menumpang di rumah mentua kerana kesempitan kewangan.

“Saya amat bersyukur atas bantuan dan keprihatinan KESEDAR dalam membantu kami sekeluarga untuk memiliki rumah.

“Saya tidak mampu untuk membeli atau membina sendiri rumah tanpa bantuan. Terima kasih KESEDAR,” katanya ketika Majlis Gimik Penyerahan Kunci Rumah PPRT, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Pengurus Besar KESEDAR, Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.

Turut hadir, Pengurus Wilayah Kuala Krai, Puan Fariza Che Ibrahim dan Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Puan Yunaiha Ismail.

Selain Mohd Zulkifli, dua penerima PPRT dari Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Mengkebang dan Kampung Tengah, Kuala Krai, turut menerima kunjungan daripada Pengurus Besar KESEDAR.

Accessibility Toolbar