Usahawan Krai D’Sign, Raih Jualan 1.8 Juta!
Seramai 19 usahawan desa di bawah agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya meraih nilai jualan tahunan melebihi RM1 juta menerusi Aktiviti Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J).
KU1J adalah salah satu aktiviti sokongan keusahawanan di bawah Rural Business Challenge (RBC) yang mula diperkenalkan sejak 2012 melalui Government Transformation Programme (GTP) 2.0 di bawah Youth Entrepreneur Driven Model Desa Abad ke-21 bagi program keusahawanan belia.
Usahawan dari Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), iaitu KRAI D’SIGN, unggul melakar nama di KU1J RBC apabila berjaya mencatat jualan tahunan sehingga RM1.8 juta.
Program yang bermula pada 4 Oktober 2022 sehingga 30 September 2023 ini disertai oleh 25 usahawan desa selepas melepasi beberapa tahap saringan dan syarat ditetapkan.
Menerusi program ini, ia berjaya meningkatkan prestasi perniagaan usahawan desa sekaligus mencatatkan hasil jualan tahunan melebihi RM38 juta berdasarkan rekod keseluruhan peserta.
Pencapaian ini menjadi penanda aras yang baik apabila mencatat peningkatan sebanyak 73 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM22 juta.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang berkata, kementerian menyediakan dana sebanyak RM15 juta dalam bentuk geran kepada usahawan luar bandar menerusi pertandingan RBC 2.0.
Peserta boleh mula mendaftar untuk menyertai pertandingan RBC 2.0 bermula hari ini melalui laman sesawang RBC 2.0, https://rbc2u.com dan tarikh tutup penyertaan adalah 31 Januari depan.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran RBC 2.0 sempena program Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Putrajaya 2023, di Anjung Floria di sini, hari ini.
Katanya, pengiktirafan kepada 19 usahawan desa melalui Majlis Graduasi Peserta Aktiviti Bimbingan KU1J ini diharapkan menjadi insipirasi kepada usahawan desa lain untuk mengikuti jejak langkah yang sama.