Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memperuntukkan RM515,000 kepada 103 peserta di empat wilayah menerusi Program Sokongan Pendapatan (PSP) pada tahun ini.
Ia meliputi 35 peserta di Wilayah Gua Musang, (31) di Wilayah Kuala Krai, (30) di Wilayah Jeli Tanah Merah dan (7) di Bahagian Pembangunan Pertanian.
Setiap peserta iaitu usahawan dari pelbagai sektor seperti pertanian, penternakan, pembuatan dan perkhidmatan menerima peruntukan berjumlah RM5,000 meliputi bantuan kursus, tablet dan peralatan perniagaan.
Majlis Penyerahan Tablet PSP 2024, yang berlangsung di Dewan Dato Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri merangkap Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR, Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani.
Dalam ucapannya, Mohd Azmawi turut menekankan agar peserta dapat menjadi usahawan yang progresif dan dinamik serta memiliki daya ketahanan mental bagi menghadapi cabaran dalam perniagaan sekali gus memperluaskan pasaran atas talian.
Terdahulu, peserta telah mengikuti Kursus Pengurusan Perniagaan Progresif dan Dinamik PSP 2024 yang diadakan di Kesedar Hotel Travel dan Tours Sdn Bhd.