Sibuk mencari lebih sehingga lupa apa yang kita ada, antara sikap yang membawa kepada kurangnya rasa bersyukur terhadap apa yang telah dilimpahi ALLAH SWT.
Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, bersyukur dengan apa yang ada akan membuatkan kita lebih tenang dan damai.
“Orang yang bahagia, bukan orang yang ada segalanya. Tapi dia bersyukur dengan apa yang ada. Selain itu, kita perlu buang perasaan sombong dalam diri dan bersikap rendah diri.
“Orang yang merendah diri akan sentiasa mendahului salam, menghulurkan tangan, terbuka menerima teguran dan menghormati pandangan orang lain.
“Dalam pada itu, kita juga perlu redha dengan setiap apa yang berlaku dan sentiasa bersangka baik,” katanya ketika berucap di Program Latihan Membina Sikap (LMS) Siri 4/2024, yang diadakan di Dewan Dato Ariffin Said, hari ini.
Selain itu, beliau turut memberi penekanan soal ketepatan masa dan disiplin di kalangan warga Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan penyampaian cenderahati kepada warga kerja yang lahir pada bulan Ogos.
Selain itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan jalur gemilang sempena bulan kemerdekaan.