“Bekerja dalam satu pasukan memerlukan kita saling menghormati pekerjaan orang lain.
“Antara nilai positif yang harus diterapkan dalam diri seseorang apabila kerja berpasukan ialah sabar, tidak mudah melenting dan bersikap merendah diri.
“Tidak kira siapa pun kita, kita perlu berakhlak dan menjaga adab apabila kita bekerja.”
Demikian pesanan yang diberikan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KESEDAR, Encik Mohd Fadhly Ab Manaf ketika Program Latihan Membina Sikap (LMS) Siri 7/2024 yang diadakan di Dewan Dato Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, hari ini.
Tambah beliau, perasaan iri hati dan hasad dengki juga akan membunuh semangat berpasukan sehingga meruntuhkan sesebuah organisasi.
“Perasaan hasad dengki itu pada asasnya adalah dilarang dan ia jelas dinyatakan melalui ayat al-Quran dan hadis.
“Sebab itulah penyakit hasad biasanya akan membawa kepada sikap-sikap buruk lain seperti mengadu-domba, kata-mengata, jatuh-menjatuh, fitnah-memfitnah, umpat-mengumpat hinggalah menyemaraknya perasaan benci-membenci di kalangan rakan sekerja.
“Oleh itu, jauhkanlah sikap-sikap yang boleh memberi kesan kepada organisasi kita, tempat kita mencari rezeki untuk keluarga,” katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh.
Program LMS ini juga turut disertakan dengan penyampaian cenderahati kepada kakitangan yang menyambut kelahiran pada bulan November.
Selain itu, program ini turut diisi dengan aktiviti senam robik dan berjalan 1,000 langkah di kawasan sekitar pejabat.