‘Kemiskinan Bukan Halangan Untuk Berjaya’

“Kemiskinan bukanlah satu harta yang perlu diwarisi dan ia bukan halangan untuk berjaya.”

Demikian kata-kata Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf, ketika berucap merasmikan Program Hala Tuju Pendidikan : Rehabilitasi Komuniti KESEDAR 2024.

Berkongsi kisah mengenai kehidupannya, beliau memberitahu kemiskinan dan kekurangan yang ada tidak pernah dijadikan alasan untuk berjaya pada hari ini.

Katanya, beliau juga pernah mengayuh basikal sejauh lima kilometer untuk ke sekolah demi mencapai cita-cita sehingga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

“Rata-rata daripada kita berasal dari kampung, orang kampung yang kebiasaannya serba kurang. Jadi, jangan jadikan alasan miskin sebagai batu penghalang untuk kita mengubah taraf hidup keluarga,” katanya.

Program anjuran KESEDAR dengan kerjasama pihak sekolah ini adalah salah satu program yang disusun dibawah Program Rehabilitasi Komuniti KESEDAR yang mana ia memberi fokus kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada hari ini. seramai 550 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, SMK Indera Petra 2 dan SMK Sri Wangi telah berpeluang mengikuti program ini.

Tambah Encik Mohd Fadhly, KESEDAR kini dalam perancangan untuk mengadakan program lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur dan beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar bagi memberi semangat kepada pelajar sebagai pendedahan pembelajaran di peringkat universiti.

Accessibility Toolbar