Kerajaan memperuntukan sebanyak RM153.2 Juta untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan melibatkan kemudahan awam dan uliti desa khusus kepada rakyat di Tanah Merah Kelantan.
Antara projek utama yang akan dilaksanakan di Tanah Merah adalah Projek Menaiktaraf Jalan ke Kampung Kusial sebanyak RM 42 juta bagi menyelesaikan masalah perhubungan dalam musim tengkujuh di kawasan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), untuk tahun 2021 hingga 2025 itu, kerajaan berhasrat agar rakyat daerah itu dapat menikmati kemudahan awam dan perkhidmatan utiliti yang lebih baik melalui pembinaan dan menaik taraf jalan perhubungan, tandak air, pemasangan lampu solar dan menaik taraf dewan orang ramai.
Katanya, pelaksanaan semua projek ini bagi mengurangkan jurang infrastruktur di luar bandar di samping memberi impak pembangunan demi meningkatkan kesejahteraan ekonomi serta sosial penduduk setempat.
Beliau berkata demikian di Majlis Iftar Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau, Tanah Merah Kelantan.
Pada majlis tersebut, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyerahkan sumbangan berjumlah RM 293,300 untuk 475 masjid dan madrasah di kawasan Kelantan Selatan bagi mengimarahkan masjid dan madrasah sepanjang Ramadan dengan pelbagai program untuk masyarakat.
Dalam pada itu, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) turut menyerahkan sumbangan RM60,000 untuk bantuan persekolahan kepada pelajar di Wilayah
Kelantan Selatan bagi mengurangkan beban ibu bapa menyedia kelengkapan persekolahan.
Kumpulan anak syarikat KESEDAR juga memperuntukan RM20,000 kepada 100 penerima yang terdiri daripada asnaf, anak yatim dan pelajar tahfiz.
Hampir 2,500 orang yang terdiri daripada masyarakat setempat, anak yatim dan pelajar tahfiz diraikan di Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Program Iftar yang memasuki tahun kedua penganjurannya ini, bagi mengeratkan silaturrahim serta semangat kebersamaan antara KESEDAR, agensi kerajaan serta komuniti setempat selain memenuhi tanggungjawab sosial korporat KESEDAR.
Majlis sama akan diadakan di Dungun Terengganu, Trolak Perak, Nibong Tebal Pulau Pinang, Labuan, Pendang Kedah, Kuala Langat Selangor dan berakhir di Bagan Datuk Perak.