KESEDAR Peruntuk RM24,000 Untuk Tiga Sekolah Angkat

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah memperuntukkan sebanyak RM24,000 bagi Sumbangan Sekolah Angkat kepada tiga buah sekolah dalam Wilayah Gua Musang pada tahun ini.

Tiga sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra, SMK Tengku Bendahara dan SMK Bandar Chiku.

Sumbangan Sekolah Angkat ini adalah salah satu inisiatif KESEDAR dalam membantu pihak sekolah menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan pelajar seperti Kem Motivasi, ceramah hala tuju pendidikan, program Skor A SPM, bengkel subjek teras dan kelas-kelas tambahan.

Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi berkata, program ini diperkenalkan untuk membantu sekolah dalam meningkatkan lagi pencapaian pelajar.

Katanya, ia merangkumi tanggungan kos untuk program-program kecemerlangan dalam melahirkan pelajar-pelajar cemerlang, memperkasakan modal insan serta mengharumkan nama sekolah melalui program-program pendidikan yang dijalankan.

Beliau berkata demikian menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan Sekolah Angkat di SMK Tengku Indera Petra, Ahad lalu.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Beliau turut berharap agar pelaksanaan program ini mampu memberi impak yang besar kepada pelajar-pelajar sekali gus melahirkan generasi yang lebih cemerlang di kawasan Kelantan Selatan.

Accessibility Toolbar