KESEDAR Peruntuk RM3 Juta Untuk Program Rehabilitasi

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memperuntukkan RM3 juta di bawah Program Rehablitasi pada tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Zawawi Othman berkata, program ini dilaksanakan bagi memperkukuh semula hubungan antara tiga pihak iaitu KESEDAR, pemimpin masyarakat dan kumpulan sasar.

Katanya, pelbagai bentuk program dijayakan di bawah Program Rehabilitasi termasuk Program Khidmat Komuniti dan Program Madani KESEDAR.

“KESEDAR Wilayah Kuala Krai telah menjadi perintis untuk Program Madani KESEDAR yang mana penganjuran julung kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.

“Selain itu, dari sudut penjanaan ekonomi setempat, penganjuran program ini juga memberi peluang kepada 20 peniaga industri kecil dan sederhana meningkatkan pendapatan mereka sepanjang program ini berlangsung.

“Melihat kepada sambutan yang diterima, program ini akan diteruskan di Wilayah Jeli dan Tanah Merah serta Wilayah Gua Musang dalam masa terdekat ini,” katanya semasa merasmikan Program Madani KESEDAR 2024.

Turut hadir, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.

Program Madani KESEDAR yang diadakan pada Sabtu di Dataran Chintawangsa, Kuala Krai itu turut mempertaruhkan lebih 10 acara dan aktiviti antaranya Pertandingan Sepak Penalti, Sukaneka, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Cabutan Bertuah dan Persembahan Kebudayaan.

Selain itu, KESEDAR juga turut menyediakan kaunter informasi dari segi bantuan dan perkhidmatan semasa yang ditawarkan oleh agensi kerajaan khususnya di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Accessibility Toolbar