Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memperuntukkan RM515,000 kepada 103 peserta di empat wilayah menerusi Program Sokongan Pendapatan (PSP) pada tahun ini.
Ia meliputi 35 peserta di Wilayah Gua Musang, (31) di Wilayah Kuala Krai, (30) di Wilayah Jeli Tanah Merah dan (7) di Bahagian Pembangunan Pertanian.
Setiap peserta iaitu usahawan dari pelbagai sektor seperti pertanian, penternakan, pembuatan dan perkhidmatan menerima peruntukan berjumlah RM5,000 meliputi bantuan kursus dan peralatan perniagaan.
Kursus Pengurusan Perniagaan Progresif dan Dinamik PSP 2024 yang diadakan di Kesedar Hotel Travel dan Tours Sdn Bhd hari ini, dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR, Encik Mohd Azmawi Fikri Haji Abdul Ghani.
Turut hadir, Pengurus Bahagian Ekonomi Dan Pelaburan yang juga Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Tanggung Kerja, Encik Mohd Fadhly Ab Manaf dan Pengurus Bahagian Pembangunan Masyarakat, Puan Yunaiha Ismail.
Dalam ucapannya, Mohd Azmawi turut menekankan agar peserta dapat menjadi usahawan yang progresif dan dinamik serta memiliki daya ketahanan mental bagi menghadapi cabaran dalam perniagaan.