KESEDAR Peruntuk RM63,800 Untuk Masjid Dan Madrasah
Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) memperuntukkan sebanyak RM63,800 bagi sumbangan Program Ihya’ Ramadan kepada 39 masjid dan 73 madrasah di kawasan Gua Musang pada tahun ini.
Sumbangan ini adalah salah satu usaha KESEDAR untuk membantu pihak pengurusan masjid dan madrasah bagi meneruskan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti ceramah agama, pengajian kitab dan forum perdana sepanjang bulan Ramadan.
Ia diperkenalkan bertujuan untuk membangunkan minda, mencorak sikap dan merubah cara hidup masyarakat dengan mendalami serta memperkembangkan pengetahuan ilmu agama melalui program-program keagamaan yang dijalankan.
Majlis Penyampaian Ihya’ Ramadan serta Bantuan Persekolahan KESEDAR Wilayah Gua Musang dan Bahagian Pembangunan Pertanian Tahun 2024 di bawah Program Rehabilitasi Komuniti KESEDAR diadakan di Dewan Dato’ Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR, hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, YB Tuan Haji Mohd Syahbuddin Hashim.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah KESEDAR, YBrs. Encik Mohd Asmawi Fikri Hj Abdul Ghani, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh, Pengurus Bahagian Ekonomi Dan Pelaburan dan juga Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Tanggung Kerja, Encik Mohd Fadhly Ab Manaf serta Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh.
Dalam pada itu, KESEDAR juga telah memperuntukkan sebanyak RM30,000 bagi Program Bantuan Persekolahan kepada sekolah-sekolah terpilih di Wilayah Gua Musang termasuk di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR dan diagihkan kepada 300 murid yang kurang berkemampuan.
Diharapkan agar program yang dilaksanakan mampu memberi impak yang besar kepada kumpulan sasar khususnya belia luar bandar dalam membentuk generasi yang mampu bersaing diperingkat yang lebih tinggi.