Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melaksanakan pemantauan terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) yang membabitkan 100 syarikat dan anak syarikat di bawah kementerian berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya akan memainkan peranan dalam menekankan tanggungjawab Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) dan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) syarikat agar selari dengan kepentingan kerajaan.
Katanya, selain itu setiap kepimpinan agensi perlu memperkemaskan tadbir urus syarikat serta menjana profit agar kebergantungan syarikat kepada kerajaan berkurangan.
Tambahnya, sehingga kini 23 syarikat telah ditutup ekoran ketidakupayaan untuk beroperasi dan kementerian akan mengadakan pemukiman bersama pimpinan setiap syarikat untuk menilai prestasi masing-masing.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Amanat YAB Menteri kepada Pengerusi, ALP dan KPE Syarikat Milikan Agensi KKDW di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Turut hadir, Timbalan Menteri, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang, Ketua Setiausaha, Dato Sri Ramlan Dato’ Harun, Pengerusi KESEDAR, Datuk Zawawi Othman dan Pengurus Besar, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.
Dalam pada itu, majlis pengenalan Menteri bersama Pengerusi, ALP dan KPE Syarikat ini adalah salah satu peluang untuk memperluas dan memperkukuh rangkaian hubungan di antara syarikat milik Agensi KKDW demi mewujudkan kerjasama strategik dan sinergi yang lebih dinamik dan efektif.