Kursus Kepimpinan Rancangan, Usaha KESEDAR Erat Ukhwah JKKR Dan Peneroka

Seramai 145 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) di semua kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) telah mengikuti Program Rehabilitasi Komuniti di bawah Kursus Kepimpinan Rancangan.

Program Tautan Mahabbah Eratkan Ukhwah JKKR KESEDAR TAHUN 2023/2024 itu diadakan di Angullia Beach House Resort, Marang, Terengganu selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Mac lalu.

Program Kepimpinan Rancangan ini diperkenalkan untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama di antara peneroka-peneroka melalui medium yang diketengahkan oleh pengurusan KESEDAR.

Program ini juga mampu menyemarakkan semangat kerjasama, hormat-menghormati dan menanamkan nilai-nilai murni di samping bertukar pandangan melalui aktiviti yang dijalankan.

Dalam pada itu, lawatan ke kawasan projek agro ekonomi juga dapat menambahkan idea dan perancangan untuk diaplikasikan di Rancangan masing-masing sama ada dari sektor keusahawanan, pertanian, penternakan dan juga pelancongan di sekitar kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli JKKR Tahun 2023/2024 turut disempurnakan oleh Pengerusi KESEDAR, YBhg Datuk Zawawi Othman.

Ia adalah salah satu usaha KESEDAR dalam memberi penghargaan kepada ketua-ketua peneroka dan semua Ahli JKKR di sembilan RKT KESEDAR.

Dalam ucapannya, Datuk Zawawi turut menekankan aspek kebersamaan di antara JKKR dan peneroka bagi membentuk satu komuniti yang teguh dan utuh.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merangkap Pengerusi KESEDAR Perkilangan Sdn Bhd, YB Mohd Syahbuddin Hashim, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh dan Pengurus Bahagian Pembangunan Pertanian, Encik Wan Mohd Afzainizam Wan Abdul Latif.

Antara pengisian lain adalah Sukan Rakyat RKT yang mana ia disusun bagi mengeratkan lagi hubungan antara semua pihak.

Accessibility Toolbar