Seramai 40 warga Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dalam majlis yang berlangsung di Hotel Renai, Kota Bharu, Isnin lalu.
Tidak hanya anugerah berkenaan, Majlis Penghargaan dan APC KESEDAR turut menghargai bakti dan keringat pesara KESEDAR yang rata-ratanya hampir empat dekad menabur jasa kepada jabatan.
Menerusi majlis gilang-gemilang ini, seramai 14 pesara KESEDAR yang berjaya menamatkan perkhidmatan pada tahun 2023 dan 2024 diraikan serta diberi penghargaan.
Menyedari peranan dan fungsi pengamal media di Kelantan, KESEDAR turut meraikan rakan-rakan media dari semua agensi menerusi penyampaian sijil penghargaan dan Anugerah Khas KESEDAR.
Pada tahun ini, KESEDAR menganugerahkan Anugerah Khas KESEDAR kepada media elektronik, Media Prima Berhad dan media cetak, Sinar Harian.
Pengerusi KESEDAR, Datuk Zawawi Othman berkata, penghargaan ini adalah bukti bahawa KESEDAR sentiasa menghargai peranan dan kerjasama pengamal media dalam memberikan liputan serta berita-berita mengenai pencapaian, pembangunan serta program-program anjuran jabatan.
Turut hadir, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh dan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Encik Muhammad Yatimin Abdullah.