MEKAR Bakal Diteruskan Sebagai Acara Tahunan KESEDAR
Mini Karnival Usahawan KESEDAR (MEKAR) 2024 telah melabuhkan tirainya semalam.
Biarpun karnival ini julung-julung kali diadakan, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga mencecah 3,000 kunjungan sepanjang tempoh tiga hari bermula 22 Ogos lalu.
Seramai 45 usahawan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dari Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli serta pelbagai agensi Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) mempertaruhkan produk masing-masing bagi meneroka pasaran baharu yang lebih meluas lagi di platform mini karnival.
Timbalan Pengerusi KESEDAR, Encik Mohamad Zamakh Sari Ibrahim berkata, karnival ini adalah salah satu inisiatif agensi dalam memperkasakan peniaga kecil serta usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik.
“Mini karnival ini menyediakan ruang kepada usahawan luar bandar terutama usahawan KESEDAR dan usahawan-usahawan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) seperti MARA, RISDA, KEMAS, FELCRA, KETENGAH, KEDA dan PERDA untuk memasarkan produk jualan melalui jualan langsung dan mempromosikan produk serta perkhidmatan luar bandar.
“Melihat kepada sambutan yang diterima, mini karnival dilihat mampu meningkatkan lagi pendapatan usahawan luar bandar dan boleh diteruskan sebagai acara tahunan KESEDAR,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mini Karnival Usahawan KESEDAR (MEKAR) 2024 bersama Majlis Apresiasi Usahawan KESEDAR bagi tahun 2024 di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu.
Turut hadir, Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.