“Perbaiki Kekurangan Diri, Contohi Kelebihan Orang Lain”

Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Carilah kekurangan diri sendiri dan perhatikan kelebihan orang lain untuk kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Itulah antara nasihat dan intipati ucapan Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh, ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Bilangan 4/2024 hari ini.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Dato Ariffin Said, Ibu Pejabat KESEDAR itu, beliau menyeru agar kakitangan sentiasa menjaga etika dan akhlak dalam menyempurnakan urusan kerja harian.

“Sentiasalah menghormati antara satu sama lain tidak kira di mana kita berada. Bertuturlah dengan bahasa yang baik kerana lidah kita mencerminkan siapa kita.

“Sebagai penjawat awam yang sentiasa berhubung dengan kumpulan sasar terutamanya komuniti di kawasan luar bandar, berikanlah perkhidmatan yang terbaik kerana kita membawa imej jabatan,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis ini, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar kakitangan KESEDAR dapat menguruskan kewangan dengan bijak dan sihat setelah menerima penyelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula bulan ini.

Majlis pada kali ini juga turut memperkenalkan barisan pengurus bagi setiap jenis sukan di Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (MAKSPEN) yang bakal berlangsung tahun hadapan.

Accessibility Toolbar