Peruntukan RM168,000 Untuk Jayakan Program Khidmat Komuniti
Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) optimis meneruskan Program Khidmat Komuniti di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Renok Baru, Gua Musang.
Terdahulu, program di bawah pengendalian Bahagian Pembangunan Pertanian KESEDAR ini telah diadakan di dua kawasan RKT iaitu di KESEDAR Paloh 2 dan 3.
Pada kali ini, seramai 250 penduduk setempat yang terdiri daripada kelompok peneroka telah bersama-sama menjayakan aktiviti di bawah Program Rehabilitasi Komuniti KESEDAR 2024 ini.
Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh berkata, program ini adalah usaha KESEDAR untuk mengeratkan hubungan kakitangan dengan warga peneroka disamping menyampaikan informasi terkini berkaitan program-program KESEDAR.
Katanya, selain menyemarakkan semangat kerjasama melalui aktiviti yang dijalankan, ia juga dapat meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan bersukan sebagai amalan gaya hidup sihat.
“Kita akan sentiasa memastikan hubungan serta ukhwah antara KESEDAR dan peneroka akan terus berada pada titik terbaik.
“Malah, melihat kepada penyertaan di kalangan masyarakat setempat, kita yakin bahawa semangat serta ukhwah itu akan terus terjalin dan harmoni,” katanya lagi.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Program Khidmat Komuniti ini melibatkan empat Pusat Tanggungjawab (PTJ) iaitu Bahagian Pembangunan Pertanian, Wilayah Gua Musang, Wilayah Kuala Krai dan Wilayah Jeli/ Tanah Merah.
Menerusi program ini, KESEDAR memperuntukkan RM168,000 yang mana ia diagihkan kepada 21 pejabat operasi untuk menjayakan program berkenaan.
Dalam pada itu, Tuan Haji W Muhd Rahimi turut melawat premis perniagaan yang baharu sahaja di bina di kawasan tersebut.