Program Industri Kotej Bersepadu, Bantu Usahawan Tingkat Pendapatan
Bantuan usahawan menerusi Program Industri Kotej Bersepadu 2024 diteruskan lagi dengan penyerahan kepada sembilan penerima.
Bertempat di Dewan Rahmat Ibu Pejabat KESEDAR, seramai lima usahawan merangkumi Bahagian Pembangunan Pertanian dan empat usahawan dari Wilayah Gua Musang menerima bantuan peralatan, hari ini.
Mereka terdiri dari pelbagai kluster perniagaan termasuk pembekal telur, katering, perniagaan air balang dan kedai makan.
Program ini merupakan satu program pembangunan keusahawanan untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan dan peningkatan pendapatan peniaga-peniaga kecil yang menjalankan perusahaan secara individu dan kecil-kecilan.
Majlis penyampaian ini disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penerima agar menggunakan bantuan yang diberikan dengan sewajarnya bagi meningkatkan lagi pendapatan.
Nilai bantuan peralatan yang diperolehi oleh setiap usahawan adalah berjumlah RM10,000 dan secara keseluruhan bantuan yang disampaikan bernilai RM90,000.