Program Industri Kotej Bersepadu KESEDAR Tahun 2024
Seramai 10 usahawan bimbangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dari tiga kluster telah menerima bantuan peralatan perniagaan menerusi Program Industri Kotej Bersepadu KESEDAR Tahun 2024.
Mereka terdiri daripada lapan usahawan dari Wilayah Gua Musang dan dua usahawan dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT).
Kluster yang terlibat adalah daripada kluster perkhidmatan, bengkel dan spa kecantikan.
Salah seorang penerima, Noor Shuhada Ahmad dari Felda Aring 1, Gua Musang berkata, bantuan peralatan perkhidmatan perkahwinan yang diterima ini akan digunakan sepenuhnya untuk tempahan pelamin perkahwinan.
“Saya mula terlibat dalam bidang menata rias dan perkhidmatan tempahan pelamin sejak tahun 2014. Bantuan KESEDAR ini amat bermakna untuk saya bagi mengembangkan lagi perkhidmatan.
“Terima kasih KESEDAR atas bantuan ini dan ia akan digunakan sepenuhnya dalam kerja-kerja tempahan pelamin nanti,” katanya yang bertapak di Felda Chiku 3, Gua Musang.
Majlis penyerahan barangan bantuan ini disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) KESEDAR, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani. Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.
Nilai bantuan peralatan yang diperolehi oleh setiap usahawan adalah berjumlah RM10,000 dan secara keseluruhan bantuan yang disampaikan bernilai RM100,000.