Skuad Ihsan Madani KESEDAR Bantu Mangsa Banjir Di Kelantan

Seramai 64 kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) yang juga ahli Skuad Ihsan Madani telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di tiga kampung dan sembilan premis terjejas teruk akibat banjir gelombang pertama di Tumpat Kelantan.

Kerja-kerja pembersihan ini juga turut disertai 116 ahli Skuad Ihsan Madani Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang terdiri kakitangan dari tujuh agensi lain di bawah kementerian termasuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institusi Latihan dan Kemahiran (GiatMARA).

Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Teluk Jering, Bendang Pok Yong dan Kubang Sawa serta beberapa premis termasuk masjid, klinik, madrasah dan tadika.

Pengarah KKDW Kelantan, Nasrul Haqiim Mohd Nasir berkata KKDW diberi tanggungjawab sebagai ‘bapa angkat’ kepada negeri Kelantan bagi kerja-kerja pembersihan pasca banjir dan bantuan-bantuan kepada mangsa.

Katanya, skop penugasan yang dilaksanakan adalah untuk memastikan setiap rumah atau premis yang terjejas dibersihkan bagi meringankan beban mangsa banjir,” katanya selepas melancarkan Skuad Ihsan Madani KKDW di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Jering.

Turut serta, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KESEDAR, Encik Mohd Fadhly Ab Manaf dan Ketua Skuad Ihsan Madani KESEDAR, Tuan Haji E.Samudin Basri.

Selain Tumpat, misi pasca banjir ini juga akan dilaksanakan di sekitar Pasir Mas dan di Gua Musang.

Bah gelombang pertama bulan lalu turut menjejaskan 946 ketua isi rumah (KIR) dari jabatan dan agensi di bawah KKDW Kelantan.

Accessibility Toolbar