Teknologi P2 TAP, Bakal Beri Pendapatan Tanpa Musim Kepada Penoreh
Seramai 100 peneroka lot getah KESEDAR dan pekebun kecil getah telah mengikuti Taklimat dan Pengenalan Berkenaan Teknologi P2 TAP di Dewan Terbuka Masjid Mukim Sungai Asap A, semalam.
Program ini adalah salah satu inisiatif Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dalam memberi pendedahan kepada peneroka mengenai teknologi yang telah dibangunkan untuk membantu penoreh getah menjana pendapatan biarpun berdepan musim tengkujuh.
Taklimat mengenai P2 TAP disampaikan oleh wakil dari syarikat P2 Biotech Sdn Bhd yang merupakan syarikat inovatif tempatan yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi bagi meningkatkan hasil lateks.
Teknologi P2 TAP ini merupakan sistem perolehan mikro yang direka untuk meningkatkan hasil lateks dengan ketara disamping mengekalkan kesihatan pokok getah. Ia menawarkan peningkatan produktiviti sehingga tiga kali ganda dan membolehkan kerja-kerja menoreh getah dapat dilakukan tanpa mengira musim termasuk musim tengkujuh.
Teknologi ini meyakinkan dan mampu memberi impak yang besar kepada operasi ladang getah dengan beberapa ciri termasuk peningkatan hasil, kecekapan perolehan dalam musim hujan, pengurangan kos buruh dan penjimatan kos.
Program ini turut dihadiri Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh.
Selain taklimat, peserta juga turut menyaksikan demonstrasi penggunaan teknologi P2 TAP di kebun getah Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Sungai Asap A, Gua Musang.