Puspanita KESEDAR Sedia Hampir 3,000 Biji Onde-Onde Sempena Ramfest
Puspanita Cawangan Kecil KESEDAR telah menyertai Penyediaan Onde-Onde Terbanyak sempena Ramadan Festival (Ramfest) anjuran Puspanita Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Majlis yang berlangsung secara serentak bersama 10 agensi di bawah KKDW secara atas talian ini menyaksikan Puspanita Cawangan Kecil KESEDAR telah berjaya menamatkan cabaran dengan 2,860 biji onde-onde sekali gus melebihi sasaran asal.
Seawal jam 8.30 pagi, seramai 30 ahli Puspanita telah memulakan proses penghasilan onde-onde yang menggunakan tiga variasi iaitu pandan, labu dan ubi keledek.
Penyediaan onde-onde terbanyak iaitu 20,000 biji bersama 10 agensi di bawah KKDW ini turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.
Pengurus Besar KESEDAR, Tuan Haji W Muhd Rahimi Wan Salleh, turut hadir memberikan sokongan kepada ahli-ahli Puspanita yang terlibat dalam penyediaan kuih tradisi bulan Ramadan ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Puspanita KESEDAR, Puan Hajah Saida Haji Mat turut membuat agihan onde-onde kepada ahli-ahli Puspanita KESEDAR.
Turut hadir sama, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Norlidasaidi Awang Teh dan Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan), Encik Mohd Fadhly Ab Manaf.